Jumaat, 12 Jun 2009

Terminal. Edisi Suai Kenal

Kemaskini_1: 12 Jun 2009

Sentimen, Terminal Itu Sukar
Jika didalam Windows, Terminal ini dikenali dengan nama lain iaitu Command Prompt. Tetapi tidak bermakna kedua mereka adalah sama. Terminal adalah sistem arahan berbaris didalam sistem yang berasaskan UNIX seperti Linux dan Mac OS. Terminal juga dikenali dengan nama Konsole didalam KDE. Tujuan penulisan ini untuk membawa kepada semua pengguna bahawa paparan arahan berbaris bukanlah terlalu sukar. Semoga penulisan ini berguna untuk anda dan untuk K sendiri. K tujukan artikel ini khas untuk semua pengguna Linux dan mereka yang menyokongnya.


Permulaan
Gambar diatas adalah gambar yang diambil daripada desktop K sendiri, menunjukkan bagaimana bentuk Terminal setelah di buka. K menggunakan Linux Ubuntu 8.10. Mungkin terdapat sedikit kelainan daripada anda kerana K telah mengubah serba sedikit tema yang bukan tema asal Ubuntu dan mungkin terdapat perbezaan diantara persekitaran ruang kerja[1] dan distro[2]. Jika anda perasan tertulis disitu satu perkataan yang akan anda jumpai apabila setiap kali anda memasuki Terminal, ianya berbunyi seperti ini:
tmukmkd@minimalisme:~$
apa yang dimaksudkan dengan perkataan itu, merujuk kepada gambar di bawah ini, bahawa tmukmkd itu adalah nama K dan juga minimalisme itu adalah nama komputer K. Begitu juga dengan anda, terminal anda akan menunjukkan seperti itu, sekali gus menunjukkan bahawa K sedang menggunakan minimalisme di bawah nama tmukmkd. Apa pula yang dimaksudkan dengan :~$ adalah anda sedang berada didalam direktori "home". Apa yang dikatakan dengan direktori home, K akan sambung di edisi 2 nanti.

Peraturan Paling Utama
Setiap perkara yang kita lakukan ada peraturannya. Termasuk Terminal. Peraturannya mudah sahaja. Ketahui apa yang anda tulis didalamnya. Itu sahaja yang diperlukan untuk anda selamat daripada tersalah guna Terminal. Dan jika anda ketahui apa yang anda tulis, kemungkinan juga anda dapat menggunakan Terminal untuk tujuan yang baik. Didalam percubaan dan penggunaan seharian anda didalam Ubuntu mungkin terdapat perkara yang menyebabkan anda ingin mengetahui mengapa dan kenapa perlu menggunakan arahan tersebut. Contoh paling mudah;
sudo apt-get install chromium-browser
K menambah perkataan whatis dihadapan perkataan diatas dan yang keluar adalah begini
tmukmkd@minimalisme:~$ whatis sudo apt-get chromium-browser
sudo (8) - execute a command as another user
apt-get (8) - APT package handling utility - command-line interface
chromium-browser: nothing appropriate.
Chromium-browser tidak memberi apa-apa maklumat kerana chromium-browser bukanlah berada didalam "kamus" perkataan yang dijadikan arahan yang khusus didalam Terminal. Chromium-browser adalah salah satu daripada pelayan interent yang boleh digunakan didalam Linux. Dinamakan Chromium kerana masih tidak dirasmikan oleh Google kepada nama Google Chrome. Tetapi bukan itu isu sebenar. Isunya dengan menggunakan whatis pengguna boleh mendapatkan sedikit info tentang apa yang ditulis didalam Terminal. Sekaligus mengurangkan risiko masalah tersalah tulis dan menyebabkan sistem menjadi bermasalah. Ingat peraturan paling penting, fikir sebelum tulis.

Man = Manual
Jika anda seorang yang rajin untuk membaca, anda digalakkan untuk menggunakan arahan man yang dipendekkan daripada perkataan manual. Masalahnya anda tidak boleh menggunakan arahan seperti di whatis tetapi perlu memberi arahan satu persatu. Sebagai contoh,
man apt-get
Akan mengeluarkan paparan seperti gambar dibawah dengan keterangan yang amat mendalam dan mungkin membantu anda untuk memahami dengan lebih baik.


Untuk keluar daripada paparan tersebut anda hanya perlu menekan butang "q" sebagai arahan kepada manual untuk mengeluarkan (quit) anda daripada manual.

Mengapa Perlu Tahu
Kadangkala arahan daripada Terminal akan membawa bahaya daripada baiknya kepada anda. Sebagai contoh paling baik adalah
rm -rf
Yang akan sekaligus membuang fail sistem anda dan mungkin akan merosakkan sistem anda. Oleh itu peraturan utama itu memang patut digunakan dan dipegang oleh semua pengguna Linux yang menggunakan Terminal.

[1] Persekitaran Ruang Kerja - Desktop Enviroment, sebagai contoh KDE, Xfce dan Gnome.
[2] Distro - Distribution, jenis-jenis Linux yang dibangunkan oleh beberapa kumpulan.

Artikel ini diterjemah, diubah dan diringkaskan daripada penulisan Robert Clipsham.

Rujukan
Robert, C. (2008) Command & Conquer. Full Circle: The Independent Magazine For The Ubuntu Community, Isu #14 - Jun 2008.

Khamis, 11 Jun 2009

Drivel

Full Circle Tidak Dikeluarkan
Artikel tetang ebook yang kedua oleh komuniti tidak dapat disiapkan mengikut jadual kerana kekurangan idea dan masa oleh itu K mengantikannya dengan eksperimen ini. Jadi atau tidak bergantung kepada kemampuan Drivel.

Drivel
K kini menggunakan Drivel sebagai alternatif kepada aplikasi blog K, ScribeFire. Akan datang K akan mengeluarkan tentang Drivel. Penulisan itu telah pun lama siap dan akan dikeluarkan pada 13 Jun 2009 mengikut jadual yang telah ditetapkan. Teruskan kepada eksperimen bersama Drivel. Eksperimen yang ingin K gunakan adalah "pool".

Pool
Kadang kala mendapat tahu daripada pembaca tetang pendapat mereka adalah bagus, dan lebih bagus jika pengguna tidak perlu membuat banyak perkara. Contohnya pool yang ringkas. Dengan itu K kali ini ingin mencuba kemampuan Drivel dalam menyediakan pool.

Anda Baca AMBNaC Menggunakan....
Firefox
Internet Explorer
Chrome
Safari
Opera
Lain-lain

Anda Yang Menentukan
Oleh itu, pilih pilihan anda dan jika anda tidak nampak, maka eksperimen ini dianggap gagal. Dan Drivel gagal didalam ujiannya.

Rabu, 10 Jun 2009

Ubunchu!: Komik Pertama Dari Komuniti

Dua e-Book Ubuntu
Sebenarnya tiada niat untuk mengeluarkan tajuk ini, tetapi ketika penulisan ini ditulis K terjumpa beberapa fail PDF e-Book yang telah lama di ambil masih tidak dibelek. Oleh itu K memperkenalkan dua jenis e-Book tersebut. Kedua-duanya berkaitan dengan Distro Linux, Ubuntu. Iaitu Ubunchu! dan Full Circle Untuk penulisan kali ini, e-Book pertama adalah Ubunchu!.

Provokasi Melalui Lukisan
Terdapat banyak cara yang menarik untuk mempromosi sesuatu produk, Linux juga tidak terkecuali khususnya Ubuntu didalam membuat promosi untuk memberi mesej kepada pengguna bahawa mereka adalah salah satu sistem operasi dan juga sebagai alternatif kepada sistem operasi Windows. Antara cara promosi yang dilakukan oleh komuniti Ubuntu adalah menggunakan video khususnya di YouTube, di papan iklan dan cara yang agak baru, komik. Boleh diringkaskan bahawa kandungan komik ini hampir keseluruhan menceritakan tentang Ubuntu (Linux), Mac OS X dan Windows. Ini yang digelar sebagai provokasi melalui lukisan.

Ubunchu!
Diasaskan daripada Jepun yang terkenal dengan manga yang terkenal seperti Dragon Ball, Naruto dan One Piece, projek Ubunchu! ini amat disambut baik oleh komuniti kerana kebanyakkan komik jepun mempunyai cara pendekatan dan plot yang menarik perhatian pembaca. Plot lebih menceritakan bagaimana Ubuntu itu berlainan dengan Distro Linux yang terdahulu yang sering dibayangi oleh kesukaran untuk menggunakannya dan tidak mesra pengguna. Juga menceritakan sedikit tentang perkataan yang biasa digunakan didalam Ubuntu seperti, Gnome, gStreamer, WINE dan Compiz. Dapat dilihat bahawa sasaran mereka yang sebenarnya adalah untuk pengguna yang baru mahu mengenali apa itu Linux secara amnya dan Ubuntu secara khasnya. Sedikit sebanyak sentimen "Linux-Itu-Sukar" dapat dikikis sedikit demi sedikit.

Mengapa Ubunchu ?
Disebabkan komik ini berasal daripada Jepun, kemungkinan cara sebutan Ubuntu di Jepun agak berlainan dengan cara sebutan mereka yang fasih dengan bahasa Inggeris. Juga mungkin disebabkan keghairahan watak utama didalam komik ini mahu memperkenalkan Ubuntu kepada rakannya sehingga tersalah sebut. Daripada Ubuntu kepada Ubunchu. Disebabkan itu Ubunchu menjadi tajuk komik ini. Secara tidak langsung, komuniti Ubuntu tidak kisah dengan cara sebutan tersebut, kerana prinsip asas mana-mana sistem sumber terbuka atau percuma adalah pengguna akan menggunakan yang mana dia merasakan selesa dengan perkara tersebut. Ubunchu merangkumi keseluruhan prinsip dan konsep keterbukaan komuniti Ubuntu secara maksimum.

Muatturun
Produk ini dilesenkan di dalam Creative Common, boleh disebarkan tetapi tidak boleh di jual kepada awam. Terdapat beberapa terjemahan untuk versi ini, dan setiap versi mempunyai dua versi cara pembacaan. Versi yang asal daripada Jepun yang menggunakan cara pembacaan manga, daripada kanan ke kiri, atau versi biasa daripada kiri ke kanan. Anda boleh mendapatkannya di doctormo. Selamat membaca. Esok, e-Book kedua, Full Circle.

Selasa, 9 Jun 2009

Fedora 11 Dikeluarkan

Kemaskini_1: 10 Jun 2009


Leonidas
Leonidas telah dilepaskan. Kepada semua pengguna Red Hat, semoga Leonidas membawa sejuta kebaikkan kepada anda dan juga Linux amnya.


..........

Gambar: softpedia

Spesifikasi
Diatas ditunjukkan contoh gambar (tekan untuk lebih jelas) yang diambil didalam tiga versi yang berlainan iaitu Gnome Xfce dan KDE. Dan antara spesifikasi yang diberikan kepada pengguna adalah;

20 saat - kurang masa untuk dihidupkan, kurang masa untuk dimatikan, persaingan yang terhebat dikalangan Linux terutamanya Jaunty (Ubuntu 9.04).
EXT4 - Diiktiraf lebih baik daripada sistem fail EXT3, dan pasukan Fedora berani mengambil risiko dengan membenarkan EXT4 sebagai fail sistem yang asal.
Plymouth - Animasi boot lebih cantik daripada dahulu, K juga berharap Karmic (Ubuntu 9.10) nanti menggunakan Plymouth.
Mozilla Firefox Beta 3.5 - Satu pertaruhan yang berani daripada pihak Fedora kerana mempercayai pengguna menggunakan produk Beta.

KDE 4.2.2 - Terbaru dan dikatakan sebagai terbaik daripada KDE
Gnome 2.26.1 - Memperbaiki masalah kecil dan meningkatkan kemampuan didalam intergrasi dengan sistem operasi yang lain.
Xfce 4.6 - Lebih ringan dan lebih baik daripada dahulu

Kesimpulan
Fedora adalah salah satu daripada distro Linux yang baik kepada pengguna kerana kemampuannya yang bagus didalam memberikan khidmat mereka. Walaupun begitu Fedora kurang di sarankan kepada pengguna yang kurang mendapat khidmat bantuan (daripada rakan ataupun atas talian) jika terdapat masalah kerana kadang kala masalah yang dihadapi agak sukar diselesaikan. Namun untuk Fedora 11, masih awal untuk memperkatakan masalah itu.

Rujukan
Daniel, P, S. (2009) Dikeluarkan pada 9 Jun 2009. Fedora 11 Is Here: Codename Leonidas. Hiper-rangkai: news.softpedia.com
Fedora Project

Ahad, 7 Jun 2009

Penulisan Bebas: SPM 10 Mata Pelajaran

Penulisan Bebas
Penulisan K pada kali ini adalah bersifat sebagai satu pedapat yang mahu diluahkan daripada hati, tidak bermaksud untuk menentang mahu menyokong mana-mana pihak. Artikel ini telah ditulis terlebih dahulu pada 5 Jun 2009 sebelum dikeluarkan pada hari ini. Ditulis berdasarkan idea dan pengalaman selama ini. Sebarang cadangan dan komen dialukan.

SPM 10
Muktahir ini kedengaran beberapa pedapat bahawa jumlah mata pelajaran yang boleh diambil oleh calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya tertakuk kepada sepuluh mata pelajaran sahaja. Walaupun pada saat artikel ini ditulis, masih belum ada kata putus yang muktamad daripada pihak yang mengeluarkan cadangan tersebut mahupun yang bertanggunjawab berkenaan perkara ini, beberapa pendapat telah dikeluarkan. K memberi kesimpulan mudah bahawa cadangan tersebut tidak K persetujui seratus peratus atas beberapa sebab yang boleh dikatakan konkrit. Dan K juga memberi beberapa cadangan yang mungkin membuka minda pembaca untuk memikirkan kebaikkan kongkongan sepuluh mata pelajaran tersebut.

Fakta Kes
Sebelum merujuk perihal masalah tersebut, K lanjutkan pembacaan anda kepada masalah yang ditimbulkan daripada tiada had pengambilan mata pelajaran oleh calon SPM. Antaranya adalah;
  • Kesukaran memilih pelajar yang layak untuk mendapat biasiswa terutamanya JPA
  • Kekurangan guru untuk mengajar pelajar yang mengambil mata pelajaran tambahan
  • Persaingan jumlah mata pelajaran yang semakin tinggi saban tahun
  • Fokus terhadap bidang yang diminati semakin kurang
Dengan fakta tersebut dapat disimpulkan bahawa cadangan menghadkan jumlah mata pelajaran oleh calon SPM dilakukan untuk mengekang masalah di atas.

Pandangan 1: Tidak Perlu Dihadkan
Pandangan pertama K menjurus kepada kaedah psikologi, K bukan seorang yang arif didalam bidang ini tetapi sedikit sebanyak mampu untuk menggunakan kaedah ini. Cadangan K yang pertama, jangan hadkan jumlah mata pelajaran yang boleh diambil. Tetapi bina satu sistem cara pengiraan mata pelajaran untuk memohon biasiswa JPA. Walaupun Pelajar A mengambil 20 mata pelajaran didalam SPM, tetapi dia hanya boleh memberikan sepuluh mata pelajaran sahaja kepada pihak JPA untuk di analisa kemampuannya. Ini adil kepada pelajar yang berada didalam sekolah yang sememangnya mempunyai lebih daripada sepuluh mata pelajaran. Dan setiap mata pelajaran tersebut haruslah mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh pihak JPA. Sebagai contoh untuk seorang pelajar mahu mengambil pengajian didalam bidang kedoktoran, dia harus memberikan apa yang diperlukan oleh pihak JPA untuk dinilai dan bukannya sebarangan subjek. Dengan itu lambakkan mata pelajaran yang tidak berkaitan dengan bidang boleh dikurangkan. Tetapi jika pelajar tersebut masih mahu mengambilnya atas dasar mahu mempelajari perkara itu dan bukannya atas dasar penilaian berorentasikan peperiksaan yang kini cuba dimansuhkan oleh pihak Kerajaan.

Pihak JPA seterusnya dapat menilai daripada beberapa sudut sebelum memilih pelajar yang layak untuk dijadikan pelajar biasiswa mereka. Contoh yang mahu diketengahkan adalah bagaimana pelajar itu memberi kebaikkan kepada rakannya, sekolahnya, persekitarannya mahupun yang lebih baik bagaimana ilmu yang didapati dapat dimanfaatkan kepada masyarakat. Kerana kebanyakkan masalah utama graduan Universiti mereka tidak tahu bagaimana untuk mengembalikan ilmu yang didapati didalam dewan kuliah kepada masyarakat kembali. Agar mereka lebih mengenali dunia sebenar bidang yang mereka ceburi. Seperti lirik lagu yang dipopularkan oleh MaliQue dan M. Nasir, Mantera Beradu;

ijazah terbaik datangnya dari jalanan
dari pengalaman bercakap dan bersalaman

Oleh itu cadangan tidak perlu dihadkan jumlah mata pelajaran untuk SPM kepada sepuluh mata pelajaran disokong oleh beberapa dasar;
  • Tidak adil untuk pelajar yang selama ini memang mengambil lebih daripada sepuluh mata pelajaran. Sebagai contoh, Menengah Teknik dan Menengah Agama.
  • Lebih fokus kepada bidang yang mahu diceburi, secara tidak langsung dapat menyelesaikan masalah fokus pelajar terhadap bidangnya.
  • Mengurangkan masalah penilaian berorentasikan peperiksaan. Pelajar tidak belajar hanya untuk mendapatkan markah tetapi untuk mendapatkan ilmu.
  • Memfokuskan kegunaan ilmu para pelajar kepada masyarakat daripada akar umbi yang kelak dapat dibawa sehingga ke alam pekerjaan.
Pandangan 2: Perincikan Gred
Mungkin ada yang berkata, masalah asas masih tidak dapat dihapuskan jika kita tidak mengurangkan had mata pelajaran seperti diatas. Mungkin cara ini dapat digunakan. Perincikan penilaian gred. Buat perubahan terdapat struktur gred. Jika dahulu kita hanya menggunakan A1 dan A2, tetapi perbanyakkan jumlah gred kepada tiga atau empat mata mungkin dapat menyelesaikan masalah ini. Dengan cara ini sistem gred dapat diperincikan dengan lebih dalam dan tepat untuk mencari dimana permata yang benar-benar bersinar di dalam sekelompok permata. Seperti didalam lirik MaliQue, VVS1 didalam albumnya OK;

VVS, siapa VVS1?
kalau bukan aku siapa VVS1

Apa dimaksudkan dengan VVS1? VVS1 adalah salah satu daripada gred yang diberikan kepada sebutir permata yang telah dipotong. VVS1 adalah gred untuk permata yang paling tinggi kilauannya, atau dengan kata mudah, permata yang terbaik. Seperti gred peperiksaan baru yang dicadangkan ini juga akan membawa kepada mereka yang benar-benar berkilau seperti VVS1 ini terus berkilau. Agar dapat menjadi seperti apa yang diperkatakan MaliQue;

dah berhenti bersinar, sekarang ku menerangi

Kesimpulan Pandangan
K tidak mengatakan pendapat K adalah yang terbaik, hanya untuk mengeluarkan apa yang difikirkan untuk kebaikkan bersama. Mungkin terdapat kesilapan didalam penulisan yang dapat diperincikan kerana K bukan seorang yang arif didalam bidang pelajaran dan pendidikan serta selok beloknya. Hanya seorang pelajar biasa yang bukan VVS1. Apa yang mahu ditekankan adalah idea untuk menjadikan had pengambilan jumlah mata pelajaran kepada hanya sepuluh adalah satu langkah yang bahaya dan membawa keburukkan daripada kebaikkannya. Sekian pandangan K untuk edisi khas, Penulisan Bebas: SPM 10 Mata Pelajaran. Kembali kepada skop asal, komputer dan teknologi.