Sabtu, 30 Mei 2009

Teknologi Semakin Laju

Penulisan Pendek
Twitter, Google Analytic dan banyak lagi yang K telah lama mendaftar tetapi tidak pernah pula menggunakannya. Baru kini mahu mempelajari kegunaan mereka. Syabas untuk diri sendiri. Kali ini hanya topik ringkas. Tidak berat dan tidak punya fakta yang banyak. Tidak seperti menulis tesis (kata KNizam).

Yang Tidak Terkejar
MySpace, FaceBook dan apa macam pusat sosial atas talian yang bercambah tidak dapat dimasuki oleh K, kerana tidak nampak kegunaannya. Telefon bimbit. Ini juga salah satu yang K tidak kejar. Setiap bulan ada sahaja jenis baru yang lebih baru daripada yang terbaru. K masih menggunakan Nokia 6070. Tidak tahu tahun bila keluarannya. Abaikan, bukan perkara yang K mahu kejar.

Yang Terlebih Kejar
Forum. Kalau boleh semua forum yang ada bahagian "interent dan multimedia" atau "baik pulih komputer" mahu K masuki. Tetapi apakan daya, terlalu banyak sehingga K membuat heiraki terhadap pilihan K. Yang mana perlu diutamakan, yang mana boleh disimpan untukdilawat kemudian hari. Terdapat juga yang tiba-tiba hilang atau sememangnya telah hilang. Mungkin mereka juga tidak terkejar dunia yang terlalu laju ini.

Yang Mahu Dikejar
Perkara yang orang tidak nampak seperti perlu untuk dikejar. Mahu ditulis tidak tahu perkara apa. Paling hampir kini, mahu memahami bagaimana pengaturcaraan Android itu menjadi boleh menjadi menarik. Kalau tidak, mahu mendalami lebih lagi tetang Java. Atau sekuriti komputer dan bagaimana manusia biasa berfikir mengenainya.

Kesimpulan
Teknologi semakin maju. Kejar apa yang anda mahu kejari. Jangan terlebih kejar sehingga tidak dapat mengejar. Yang dikejar tak dapat, yang dipegang tak lekat.

Tambahan
Hari ini hari terakhir K di JRC-Pro kerana mahu berehat sebelum kembali ke Kuala Terengganu untuk menhadiri kursus Linux. RedHat rasanya kerana berat kepada kerja-kerja administrasi. Mungkin blog Comtech yang sudah lama ditinggalkan dapat diperjuangkan semula. Mungkin boleh.

Jumaat, 29 Mei 2009

WOT: Web Of Trust

Sesawang: Tidak Semuanya Baik
Secara kasarnya terdapat 186 juta buah laman sesawang diseluruh dunia yang bergelar internet. Manakala jumlah blog pula adalah 133 juta Ini adalah rekod yang dikeluarkan oleh Pingdom untuk menunjukkan bahawa terdapat terlalu banyak laman di internet yang boleh dilawati oleh semua orang. Masalah yang utama kini adalah tidak semua laman di internet itu bagus dan sesuai untuk dikunjungi oleh semua orang. Secara ringkasnya, dunia internet ini adalah dunia yang gelap, terlalu banyak rumpai di atas padang yang rata.

Tapisan Sesawang
Masalah utama yang menimpa pengguna interent kini adalah mereka terlalu percayakan sesuatu produk daripada internet yang diambil daripada laman sesawang pihak ketiga seperti tucows dan filehippo. Bukan K mahu mengatakan bahawa mereka ini mengeluarkan aplikasi yang bahaya tetapi kadang kala mereka hanya mampu mengimbas aplikasi itu daripada luaran dan bukannya menggunakannya satu persatu untuk di uji keberkesanannya dan kemampuannya ataupun risiko masalah yang akan menimpa pengguna apabila menggunakan sesuatu aplikasi itu. Begitu juga apabila memasuki laman sesawang yang melibatkan penggunaan pemindahan wang secara atas talian seperti eBay dan lelong. Kadang kala terdapat beberapa beberapa laman yang mengambil peluang untuk menipu pelanggan. Perkara ini harus kita elakkan untuk keselamatan bersama. Itu tidak dikira berapa banyak pula laman yang mempunyai unsur lucah, pronografi, virus dan juga melakukan penggodaman.

Komuniti Sekuriti
Jika kita ketahui bahawa tiada antivirus dan perisian keselamatan yang betul betul bagus untuk kegunaan bersama, mengapa kita tidak bertanya kepada seuruh komuniti internet tentang pendapat mereka untuk satu-satu laman yang mengeluarkan sesuatu produk mahupun laman yang selamat untuk dilayari oleh kita. Disini lahirnya WOT: Web Of Trust atau dapat dinyatakan didalam bahasa Malaysia, "jaringan kepercayaan". Kerana didalam WOT, semua orang berhak untuk memberi pendapat mereka didalam mana-mana laman sesawang yang mereka masuki. Dan juga mampu untuk memberi markah tertentu untuk sesuatu laman. Dan boleh juga dinilai oleh orang lain yang memasuki laman tersebut. Dan sekaligus membantu anda daripada menjadi mangsa laman yang merbahaya.

RegCure, Contoh Terbaik Peranan WOT
K membaca didalam status YM Boss_Naq tadi (semasa artikel ini ditulis). Boss menulis tetang sesuatu yang tidak menarik iaitu;
f0rmaT pC!!! -> dUn uSE regcure!!! iT wiLL haRm uR sySteM!!!
Apa itu RegCure?
RegCure adalah satu aplikasi yang dikatakan mampu untuk membaiki semula masalah registry komputer dengan baik. Nampak seperti satu aplikasi yang bagus. Tetapi apa pendapat orang ramai terhadap aplikasi ini? Apabila K membuat carian di Google mengenai "regcure". Ini hasilnya.


Bulatan Merah
Itu adalah simbol rating WOT. Merah maksudnya bahaya dan harus dielakkan daripada memasukinya. Mereka mengaplikasikan simbol yang ada didalam lampu jalanraya. Lebih mudah difahami oleh pengguna. Walaupun mereka tidak pernah menggunakan WOT sebelum ini. Apa komen pengguna WOT terhadap aplikasi ini.


Beratkan pandangan anda pada bar yang menunjukkan jumlah komen terhadap, "Bad customer experience" dan "Fraud, Scam & Phishing". Secara mudahnya regcure ini di "iktiraf" oleh WOT sebagai satu aplikasi yang tidak membawa kebaikkan malahan membawa keburukkan kepada pengguna. Jika jumlah pendapat ini tidak memuaskan hati anda, sila lihat pula sejumlah besar aduan yang dibuat berkaitan regcure. Setakat artikel ini ditulis, sebanyak 557 aduan dilakukan. Anda boleh membacanya di SINI. Juga anda boleh membaca pendapat tentang aplikasi ini oleh seorang penulis blog, Kris_Mainieri.

Tidak Salah Mencuba WOT
K boleh mengatakan tidak salah anda untuk mencuba WOT kerana WOT adalah satu aplikasi yang percuma, yang boleh dipasang secara terus di dalam Firefox mahupun Internet Explorer. Untuk pengguna Firefox anda boleh terus memasukkannya sebagai addon di laman rasmi Firefox. Untuk versi Internet Explorer anda boleh mendapatkannya di laman WOT.

Rujukan
Kris, M. RegCure Scam Exposed? - Don't Buy Until You Read This Shocking Report! Hiper-rangkai: www.squidoo.com

Khamis, 28 Mei 2009

Leonidas Semakin Bersedia

Kemaskini_1: 29 Mei 2009

Semakin Hampir
Leonidas atau nama lainnya Fedora 11 semakin sampai ke tahap matang apabila dijadualkan untuk dilepaskan secara rasmi pada 26 Mei 2009 2 Jun 2009 9 Jun 2009 nanti. Fedora adalah salah satu daripada distro Linux yang terkenal yang diasaskan daripada Linux RedHat. Seperti juga Jaunty Jankalope oleh Ubuntu, Leonidas juga mempunyai misinya yang tersendiri didalam usaha memartabatkan sistem operasi Linux sebagai salah satu daripada sistem operasi yang baik.

Lebih Pantas Dari Dahulu
Perkara yang terpenting didalam pembinaan Leonidas adalah mengatasi masa terpantas untuk boot yang kini dipegang oleh Jaunty sekitar 25 saat. Leonidas membuat sasaran yang lebih pantas daripada itu dengan mensasarkan masa sekitar 20 saat. Kira-kira 10 saat lebih pantas daripada Fedora 10. Untuk rekod, masa yang disasarkan oleh Jaunty didalam pembinaan adalah 25 saat berbanding versi sebelumnya Intrepid yang mengambil masa 45 saat. Kini persaingan diantara beberapa distro Linux dalam soal kepantasan boot adalah satu keutamaan. Kerana lebih pendek masa diambil untuk boot. Lebih kurang masa pengguna dibazirkan.

Lebih Mesra Pengguna
Untuk menandingi isu mesra pengguna yang sering dikeluarkan oleh pengguna bukan Linux terhadap Linux. Fedora mengorak langkah dalam memperbaiki sistem untuk memasang aplikasi dan tulisan. Sistem ini dilihat menyerupai sistem Synaptic didalam Ubuntu. Kebolehan sebenarnya tidak dapat dinyatakan kerana K sendiri tidak pernah menggunakannya. Mungkin setelah Leonidas keluar secara rasmi, K akan mencubanya.

Lebih Sifat Mobiliti
Perkara utama didalam mana-mana sistem yang bersifat mobiliti adalah bagaimana sistem tersebut dapat menguruskan kuasa bateri yang terhad didalam komputer tersebut. Kini dengan populariti netbook, Leonidas juga mengikut jejak langkah yang dilakukan oleh Jaunty didalam membaiki sistem pengurusan kuasa dan mengurangkan penggunaan kuasa oleh sistem operasi.

Lebih Kecil
Kini Fedora menjadi semakin kecil. Lebih mempercepatkan proses naik taraf dan mengurangkan risiko kegagalan naik taraf. Dikatakan Fedora kini hanya bersaiz sekitar 300MB daripada versi yang awal sekitar 1.5GB. Secara tidak langsung dengan mengurangkan kebesaran fail sistem, kelajuan sistem tersebut akan dapat dilihat secara jelas. Mungkin Leonidas akan menjadi lebih pantas daripada Jaunty.

Kesimpulan
Kemajuan yang dibina oleh beberapa distro Linux dapat dibanggakan. Walaupun pengguna mereka bukanlah seramai pengguna Windows secara realiti. Tetapi sedikit sebanyak dapat menunjukkan bahawa didalam dunia ini bukan hanya terdapat satu sistem operasi sahaja. Iaitu Windows.

Rujukan
Jun Auza (2009) Dikeluarkan pada 24 Mei 2009. Fedora 11 “Leonidas” is Almost Ready to Kick Ass! Hiper-rangkai: www.junauza.com didalam Linux Today (2009) Dikeluarkan pada 26 Mei 2009. Fedora 11 "Leonidas" is Almost Ready to Kick Ass! Hipr-rangkai: www.linuxtoday.com

Rabu, 27 Mei 2009

E-Book: Penyelesaian Atau Satu Permulaan Masalah

Kemaskini_1: 27 Mei 2009

Yakin?
"Saya yakin murid akan menyukai teknik pembelajaran baru ini". Itu yang diperkatakan oleh tokoh guru 2009, Shahul Hamid Mydin Shah didalam akhbar Berita Harian 26 Mei 2009. K merasakan bukan hanya murid dan guru akan menyukai cara ini, tetapi ada pihak ketiga yang akan menyukai teknik pembelajaran baru ini. Yakinkan anda bahawa sistem pembelajaran menggantikan buku teks kepada sistem e-Book yang dimulakan oleh negeri Terengganu sebagai perintis boleh membawa kebaikkan atau ianya satu permulaan kepada masalah. Yakinkah anda?

Windows XP + UFD = Virus
K tidak dapat mengetahui spesifikasi sebenar e-Book yang digunakan oleh pelajar tahun lima di Terengganu tersebut. Tetapi daripada apa yang K lihat, sistem operasi yang digunakan oleh pelajar-pelajar tersebut adalah Windows XP. Dan apa yang dicadangkan oleh Menteri Besarnya adalah buku teks akan didigitalkan dan dimasukkan kedalam bentuk UFD (USB Flash Drive) atau pendrive thumbdrive. Apabila kita berkata tentang seorang pelajar tahun lima, satu sistem komputer yang menggunakan Windows dan UFD. Secara mudahnya kita dapat mengagak apakah risiko terbesar yang akan dihadapi oleh mereka. Virus.

Bukan Pro-Linux, Anti-Windows
K tidak mahu dikatakan seorang yang fanatik terhadap Linux, tetapi secara asasnya sebaiknya mereka memberikan pelajar tersebut satu sistem operasi yang dapat mengurangkan risiko terkena serangan virus dan juga banyak lagi perkara. K lebih minat jika e-Book tersebut menggunakan sistem operasi Linux seperti mana yang di gunakan didalam projek Linux Laptop. Mungkin ada yang akan beranggapan, Linux ini sukar dan tidak sesuai untu digunakan kepada pelajar. Ternyata tanggapan itu adalah salah. Linux itu hanya sukar untuk mereka yang hanya berpaksikan kepada Windows dan tidak mahu keluar daripada kepompong Windows tersebut sama sekali. Tetapi untuk seorang pelajar tahun lima, tidak K rasakan terdapat kesukaran dalam menggunakan Linux. Terutamanya Linux Edubuntu. Yang sudah semestinya dibina untuk kegunaan pelajaran.

Jangka Pendek Dan Jangka Panjang
Masalah yang akan timbul jika penggunaan e-Book menggunakan Windows XP sebagai sistem operasi K boleh bahagikan kepada masalah jangka pendek dan jangka panjang.

Jangka pendek
  • Tamat sokongan. Windows XP telah pun ditamatkan sokongannya oleh Microsoft. Secara tidak langsung menjurus kepada masalah sekuriti dan eksploitasi.
  • Ancaman virus. Kemungkinan besarnya akan datang daripada UFD yang digunakan untuk menyimpan data buku teks. Seterusnya akan membawa masalah jangka panjang.
  • Anasir luar. Disebabkan menggunakan Windows XP dan mempunyai kemudahan USB. sekali gus K boleh mengatakan bahawa akan terdapat beberapa anasir luar yang akan tersimpan didalam e-Book tersebut. Oleh kerana dikongsi bersama orang lain didalam keluarga. Anda mungkin lebih faham. Contoh termudah, permainan.
Jangka panjang
  • Sistem makin perlahan. Perkara itu menjadi lumrah kepada pengguna Windows apabila semakin lama digunakan sistem akan menjadi semakin perlahan dan apabila XP tidak lagi mendapat sokongan daripada Microsoft, pengguna terpaksa menukar kepada Windows Vista atau 7. Wang diperlukan.
  • Tingkat naik sistem. Untuk melakukan penukaran sistem operasi, sistem perlu di tingkat naik untuk mengikuti spesifikasi yang diperlukan oleh sistem operasi tersebut. Untuk tingkat naik sistem. Wang diperlukan.
Linux Sebagai Sistem Operasi Terbaik
Mengapa K mengesyorkan penukaran sistem operasi Windows kepada sistem operasi Linux adalah untuk mengelakkan berlakunya masalah ketika menggunakan Windows XP.
  • Jangka hayat yang panjang. Sebagai contoh Ubuntu 8.04 LTS (Long Term Support) yang disokong oleh komuniti Ubuntu selama dua tahun untuk setiap e-Book.
  • Tiada virus. Secara teorinya Linux dikatakan tiada virus. Dan dengan itu banyak perkara yang boleh dijimatkan seperti pembelian antivirus dan perisian keselamatan.
  • Keselamatan tinggi. Kebaikkan yang paling baik didalam Linux adalah sekuriti daripada fail sistem diusik adalah baik. Termasuklah untuk membuat apa-apa pemasangan kedalam sistem. Oleh itu, anasir luar dapat dikurangkan.
  • Tidak perlahan. Linux selalunya tidak akan menjadi semakin perlahan walaupun telah digunakan dalam tempoh yang lama. Perkara ini telah diakui oleh kebanyakkan webmaster di dunia yang menyakini bahawa Linux lebih sesuai untuk dijadikan sistem operasi. Termasuk didalam server berbanding Windows.
  • Tingkat naik sistem. Kebanyakkan Linux adalah percuma. Dan seperti Ubuntu, mereka akan mengeluarkan versi yang baru setiap enam bulan. Dan segalanya percuma untuk penggunanya.
Kesimpulan
K tidak menyentuh adakah program e-Book ini akan berjalan atau tida dengan baik. Tetapi K mengharapkan supaya mereka yang terlibat melihat kembali apakah kebaikkan didalam penggunaan sistem operasi Linux berbanding Windows XP didalam e-Book. K kembalikan soalan diatas, yakinkah anda?

Info Tambahan
Seharusnya setiap UFD itu dipanggil sebagai thumbdrive dan bukannya pendrive yang ditulis didalam akhbar tersebut. Kerana pendrive itu adalah salah satu daripada jenama pengeluar UFD.

Rujukan
Datuk Ahmad, S. (2009) Iran tempah 300 e-Book untuk diuji mulai Jun. Berita Harian, Pelancaran e-Book. 26 Mei 2009.
Shahul Hamid, M. S. (2009) e-Book ubah tahap kehidupan rakyat. Berita Harian, Pelancaran e-Book. 26 Mei 2009.

Selasa, 26 Mei 2009

Anda Yakin, Setiap Komputer Baru Bebas Virus?

Kemaskini_1: 26 Mei 2009

Fakta
Semua pengguna komputer tidak gemarkan virus yang menganggu hidup mereka. Dan virus telah pun menjadi asam garam kepada pengguna komputer terutamanya mereka yang menggunakan sistem operasi yang dikeluarkan oleh Microsoft, Windows. Tetapi adakah anda yakin bahawa setiap komputer baru yang anda beli daripada kedai itu bebas virus. Benar-benar yakin?

Virus Dalam Komputer Baru
Mungkin perkara ini dianggap kes terpencil, tetapi peluangnya tetap ada. Kes ini telah terjadi dibeberapa tempat, tidak hanya tertumpu kepada komputer malah iPod juga telah dilaporkan mengandungi virus. Kes terbaru apabila beberapa penyelidik Kaspersky membeli sebuat netbook untuk kegunaan penyelidikan mereka mendapati terdapat sesuatu yang tidak kena dengan sistem tersebut. Setelah dikaji selidik, mereka menjumpai tiga virus yang berada didalam system restore. Dikatakan virus tersebut masuk apabila pekerja netbook tersebut membuat naiktaraf driver netbook tersebut dan dengan tidak sengaja virus tersebut masuk. Virus tersebut adalah varian daripada cecacing AutoRun yang biasa berada didalam UFD (USB Flash Drive) atau lebih mudah, thumbdrive.\

Imbasan Penuh
Satu nasihat daripada mereka adalah, perkara pertama yang perlu dibuat apabila mendapat komputer baru adalah, memasang sistem sekuriti seperti antivirus dan membuat naiktaraf secara terus dan naiktaraf sistem operasi sebelum dan dicadangkan juga untuk membuat imbasan penuh - full scan. Walaupun nampak seperti MENYUSAHKAN. Tetapi apakan daya, seperti yang K katakan diatas. Semua pengguna komputer tidak gemarkan virus yang menganggu hidup mereka. Dan jika anda salah seorang daripada mereka, baik untuk melakukan imbasan.

Anda Yakin?
Mungkin selepas ini anda akan lebih beringat tetang perkara ini. Nasihati kenalan anda mahupun sesiapa sahaja yang baru membeli komputer baru. Kerana jangan disebalik kegembiraan mendapat komputer baru akan terbit kesedihan. Kerana sistem operasinya perlu diformat kerana virus yang tidak diketahui mana datangnya.

"Security is not a product, it's a product process"
* terima kasih kerana Life4Hire yang menjumpai kesilapan ini

Rujukan
Dwight, S. (2009) Dikeluarkan pada 24 Mei 2009. Can you trust that new PC to be malware-free? Hiper-rangkai: blogs.chron.com didalam DJD (2009) Dikeluarkan pada 25 Mei 2009. Can you trust that new PC to be malware-free? Hiper-rangkai: djd.newsvine.com

Isnin, 25 Mei 2009

FBI & U.S. Marshals Service Diserang

Tidak Kebal
Didalam filem-filem fiksyen memperlihatkan bahawa FBI sebagai salah satu badan yang hebat di Amerika. Tetapi kemegahan itu dilupuskan oleh sebuah virus yang dihantar untuk menyerang sehingga sistem rangkaian FBI terpaksa ditutup untuk mencegah penularan virus tersebut. FBI tidak kebal.

Dua Badan Besar
Selain FBI, U.S. Marshals juga diserang oleh virus yang sama dan membuat keputusan yang sama, dengan mematikan rangkaian mereka untuk sementara waktu. Jenis dan sumber virus tersebut masih tidak dapat dikenal pasti dan tidak boleh menafikan bahawa virus tersebut datang daripada dalam kerana sistem rangkaian di dua badan tersebut adalah bersifat dalaman sahaja untuk mengelakkan kehadiran serangan daripada pihak luar. Apa yang dapat dipelajari daripada masalah ini adalah; perkara yang K selalu katakan.

Security Is Not A Product, It's A Process
Bertapa hebat pun halangan, keselamatan yang diletakkan untuk mengekang serangan daripada luar, tetapi jika serangan tersebut dibuat daripada dalam kesannya kadang kala lebih teruk daripada serangan daripada luar. Untuk semua pengguna, pedoman untuk anda dalam memastikan sistem anda selamat iaitu kehadiran virus yang datangnya daripada dalam, contohnya anda yang membenarkan virus tersebut melepasi benteng pertahanan dengan tidak membenarkan sistem antivirus mengimbas fail anda. Terutamanya yang berjenis pemecah kod - crack.

Sumber
Devlin, B. (2009) Dikeluarkan pada 21 Mei 2009. Computer virus strikes US Marshals, FBI affected. Hiper-rangkai: www.physorg.com

Ahad, 24 Mei 2009

Peperangan Pelayar Internet. Sesi 9

Edisi Chrome 2.0: Makin Laju, Makin Menarik

30% Lebih Laju
Pada versi yang lepas mereka telah menaikkan kelajuan mereka sebanyak 25 peratus, kali ini mereka menaikkan lagi 30% daripada versi yang lepas tersebut. Itu yang dikatakan oleh pihak Chrome apabila mereka mengeluarkan versi Chrome 2.0 Beta mereka yang terbaru. Chrome yang sudah dikenali dengan kepantasannya, kini semakin pantas meninggalkan pesainganya yang lain. Untuk rekod, versi yang terkini menunjukkan peningkatan yang besar dari segi ujian yang diadakan menggunakan SunSpider (Michael, 2009).
  • Chrome 2 beta - 1503ms
  • Chrome 1 - 2689ms
  • Internet Explorer 8 - 9,065ms
  • Firefox 3.1 beta - 3,045ms
V8 & WebKit
Chrome dipacu oleh enjin javascript V8 mereka yang terbaru dan dibantu secara langsung oleh WebKit yang terbaru (Chleo, 2009). Setakat ini pesaing yang hampir dengan kelajuan Chrome hanyalah pelayar interent yang diasaskan oleh WebKit iaitu Safari. Selain itu Chrome seolah-olah berada didalam kelasnya yang tersendiri. Tiada pencabar yang sebenar dari segi kelajuan.

Fungsi Di Tambah
Chrome laju, tetapi masalah utamanya adalah kekurangan fungsinya. Fungsi yang sedikit menyebabkan kurang pengguna tegar internet menukarkan daripada pelayar mereka kepada Chrome. Itu yang kini diperbaiki sedikit demi sedikit oleh pihak Chrome. Aplikasi yang terbaru adalah kemampuan untuk membuat pengisian automatik untuk borang elektronik seperti mana yang dipunyai oleh kebanyakkan pelayar internet yang lain. Tambahan yang terbaru adalah kemampuan untuk menyokong mod paparan skrin penuh (fullscreen) dengan hanya menekan kekunci F11. Dengan fungsi tersebut, Chrome dilihat semakin matang dari segi kemampuan menjadi salah satu daripada pelayar internet yang serius. Dan fungsi yang terbaru adalah kemampuan anda membuang senarai laman yang anda masuki dengan kerap ketika membuka tab yang baru. Fungsi ini dilakukan kerana permintaan pengguna.

Sekuriti
Sedia maklum bahawa satu-satunya pelayar internet yang selamat daripada di godam didalam pertandingan Pwn2Own adalah Chrome. Tetapi baru-baru ini Chrome dikatakan mempunyai masalah sekuriti yang bahaya. Tetapi setakat ini pihak Chrome mengatakan segala masalah telah pun diselesaikan. Dengan mengatakan bahawa lebih daripada 300 masalah telah di selesaikan semenjak versi yang pertama mereka (Thom, 2009).

Kekurangan
K tidak mampu menggunakan Chrome versi terbaru yang dikeluarkan tetapi hanya menggunakan Chromium (tekan gambar untuk lebih jelas) kerana K menggunakan Linux. Tetapi versi yang terbaru juga mempunyai fungsi yang terbaru. Fungsi yang sempat K cuba adalah mod skrin penuh. Tetapi mempunyai masalah kerana fungsi tersebut tidak mempunyai bar yang menunjukkan tab yang telah dibuka. Oleh itu pengguna terpaksa menggunakan kombinasi kekunci yang sekaligus tidak menunjukkan sistem Chrome/Chromium sebagai sistem yang mesra pengguna. Tetapi K masih menyimpan Chromium didalam Linux K kerana K merasakan Chromium adalah seperti LeBron James. Yang kadang kala berguna disaat memerlukan. Lebih lagi didalam soal mencari bahan yang memerlukan kepantasan yang lebih baik daripada Firefox.

Kesimpulan
Untuk pengguna Windows yang telah memasang versi yang lama, usah risau kerana versi yang baru akan dipasang secara automatik oleh sistem Chrome (FOSS, 2009).

Rujukan
Chleo, A. (2009) Dikeluarkan pada 21 Mei 2009. Google: Updated Chrome is 30 Percent Faster. Hiper-rangkai: www.pcmag.com
FOSS, M. (2009) Dikeluarkan pada 22 Mei 2009, Google Chrome 2.0 kini lebih laju. Hiper-rangkai: fossmalaya.co.cc
Michael, M. (2009) Dikeluarkan pada 22 Mei 2009. Hands On: Google Chrome 2. Hiper-rangkai: www.pcmag.com
Thom, H. (2009) Dikeluarkan pada 22 Mei 2009. Google "Releases Chrome 2". Hiper-rangkai: www.osnews.com

Sabtu, 23 Mei 2009

Mac OSX, Java, Eksploitasi Dan Sekuriti

Sistem Operasi Paling Selamat
Apple mengatakan bahawa sistem operasi mereka iaitu Mac OS X adalah sistem operasi yang paling selamat di dunia (Nick, 2009). Itu mungkin benar jika dibandingkan dengan reputasi Windows. Tetapi kini reputasi Apple tersebut sedang di hapuskan oleh satu masalah Java kerana Apple tidak membuat sebarang naiktaraf untuk membetulkan masalah daripada Java tersebut. Pengguna Apple sedang diancam keselamatan mereka daripada penggunaan Java versi yang tidak dikemaskini (Dan, 2009). Memalukan.

Semua, Kecuali Apple
Sehingga kini kesemua sistem operasi yang menggunakan Java telahpun membuat kemaskini terhadap masalah yang berlaku tersebut, hanya tinggal Apple yang tidak lagi membuat kemaskini tersebut. Sementara pihak Apple mengeluarkan kemaskini terhadap masalah terbabit, beberapa pakar sekuriti menasihatkan agar pengguna Mac mematikan fungsi Java didalam pelayar internet mereka. Masalah tersebut telahpun di jumpai oleh Sami Koivu pada Ogos 2008 dan dibaiki oleh Sun pada Disember tahun tersebut, ini bermakna dengan kata lain pengguna Apple sedang menggunakan Java versi yang mengandungi masalah yang dijumpai lebih setengah tahun yang lalu. Versi Java tersebut digunakan oleh pengguna Apple termasuklah Mac OS X versi yang terkini, 10.5.7 masih tidak membetulkan masalah tersebut.

Teori Dibuktikan
Teori tersebut dibuktikan oleh Landon Fuller didalam blognya yang menyatakan bagaimana eksploitasi tersebut dapat digunakan oleh penggodam dalam menjalankan kod Java didalam sistem Mac OS X tanpa memerlukan kebenaran pengguna. Jika anda menggunakan Mac OS X, ada dapat mencuba dan melihat kebenaran disebalik teori yang dikemukan oleh Landon di sini. Apabila K memasuki laman tersebut, K tidak dapat menjalankan applet tersebut dengan baik, kemungkinan berlaku masalah intergrasi antara sistem operasi ataupun Java K menghalang code tersebut daripada dijalankan. K menggunakan Linux.

Java Kemudahan Yang Merbahaya
Setiap teknologi ada kebaikkan dan ada keburukan, Java terkenal sebagai salah satu bahasa pengaturcaraan yang berorentasikan objek. Terkenal dengan kata-kata "write once, run everywhere" - tulis sekali, jalankan dimana-mana. Tetapi situasi sekarang ini memungkinkan terjadinya perkara yang berlainan iaitu "write once, exploit everywhere" - tulis sekali, eksploitasi dimana-mana (Thom, 2009) ataupun "write once, own everyone" - tulis sekali, kuasai semua orang (Julien, 2009). Dengan kata yang lebih mudah, aplikasi Java yang ditulis mampu digunakan dimana-mana platform sistem operasi selagi mana sistem tersebut mempunyai sokongan terhadap Java. Oleh itu dapat diringkaskan bahawa risiko Java yang dilihat kepada Mac OS X ini sekaligus menunjukkan bahayanya Java jika tidak diberikan perhatian sepenuhnya didalam bidang sekuriti.

Untuk mereka yang memahami bahasa pengaturcaraan Java, anda disarankan untuk membaca penulisan Julien tentang perkara ini yang mana dia adalah salah seorang peserta didalam pertandingan Pwn2Own yang berjaya menggodam Firefox dan Safari didalam Mac OS X[1] menggunakan permasalahan Java ini dengan bantuan daripada Sami Koivu sendiri.

Nasihat Pakar
Selagi pihak Apple tidak mengeluarkan sebarang naik taraf berkaitan dengan isu ini, semua pengguna Apple disarankan untuk menutup kemampuan Java didalam pelayar interent mereka (Sam, 2009). Untuk melakukan perkara ini,
  • Safari - Safari > Preference, pilih tab Security dan padamkan tanda di "Enable Java".
  • Firefox - Edit > Preference, pilih tab Content dan padamkan tanda di "Enable Java".
Untuk versi pelayar internet yang lain seperti Camino dan Opera sila rujuk di laman macworld.
Kemungkinan juga terdapat mereka yang memasukkan kod Java yang mempunyai kebolehan yang sama didalam lampiran didalam emel (Rob, 2009). Oleh itu diharapkan pengguna Mac berhati-hati dengan setiap lampiran emel mereka.

Info Tambahan
[1] Didalam pertandingan tersebut Safari dan Firefox telah digodam menggunakan exploitasi Java ini. Tetapi disebabkan permasalahan ini telah pun di rekodkan oleh pihak Java dan Apple pada masa tersebut, penggodaman tersebut tidak diambil kira didalam pertandingan Pwn2Own tersebut. Walaupun begitu perkara tersebut menunjukkan bahawa eksploitasi Mac OS X menggunakan pelayar internet tersebut adalah benar.

Rujukan
Dan, M. (2009) Dikeluarkan pada 20 Mei 2009. Apple lags on Java security fix in OS X. Hiper-rangkai: www.macworld.com
Thom, H. (2009) Dikeluarkan pada 19 Mei 2009. 9 Month Old Critical Java Vuln. Still Not Patched in Mac OS X. Hiper-rangkai: www.osnews.com
Julien, T. (2009) Dikeluarkan pada 19 Mei 2009. Write once, own everyone, Java deserialization issues. Hiper-rangkai: log.cr0.org
Landon, F. (2009) Dikeluarkan pada 19 Mei 2009. Critical Mac OS X Java Vulnerabilities. Hiper-rangkai: andonf.bikemonkey.org
Nick, F. (2009) Dikeluarkan pada 21 Mei 2009. 'Secure Apple' ignores serious Java flaw. Hiper-rangkai: www.fudzilla.com
Rob, G. (2009) Dikeluarkan pada 20 Mei 2009. Close the Java security hole in many browsers. Hiper-rangkai: www.macworld.com
Sam, O. (2009) Dikeluarkan pada 20 Mei 2009. Security firm warns of Java vulnerability in Mac OS X. Hiper-rangkai: www.appleinsider.com

Jumaat, 22 Mei 2009

Google Doodle: Mary Cassatt



Mary Cassatt
Google Doodle memperingati hari kelahiran Mary Stevenson Cassatt, seorang pelukis Amerika. Motif lukisannya lebih kepada kehidupan peribadi seorang wanita dan juga tentang kekuatan ikatan antara seorang ibu dan anaknya. Google Doodle kali ini mengadaptasi daripada lukisan asalnya "The Child's Bath" yang dilukis pada tahun 1893 yang kini disimpan di Art Institute of Chicago.


Mary mati pada tahun 1926 pada usia 82 tahun di Perancis.

Rujukan
Wikipedia, the free encyclopedia. Mary Cassatt.
Wikipedia, the free encyclopedia. The Child's Bath.

Khamis, 21 Mei 2009

Google Doodle: Pemenang 2009

Pertandingan Doodle 4 Google 2009
Setelah dibuka tempoh pengundian selama seminggu kepada umum untuk menentukan siapkah pemenang untuk Doodle 4 Google 2009, pemenangnya kini telah pun diumumkan. K mahu memberitahu anda tentang perkara ini, tetapi terlalu sibuk dengan kerja.

Pemenang Doodle 4 Google 2009


Dipilih daripada empat lukisan yang mewakili setiap grade dan dibantu oleh undian secara atas talian oleh 6 juta pengundi (K adalah salah seorang) seluruh dunia, pemenang Doodle 4 Google 2009 dimenangi oleh Christin Engelberth yang mewakili kategori Grades 4-6. Dengan tema A New Beginning, hajatnya adalah untuk melihat segala permasalahan di dunia kini dapat diselesaikan dan dengan itu bumi akan kembali kepada keadaan sebelum ini, dunia yang lebih baik untuk semua benda.

Grades K-3: Friendship Around the World
Di lukis oleh seorang kanak-kanak Covington, TN, berumum 5 tahun yang bernama Miriam Elizabeth Lowery. Harapannya adalah untuk melihat semua orang didunia dapat bersatu dan hidup dengan harmoni. "Kita semua boleh menjadi kawan".




Grades 7-9: Stop to Smell the Flowers
Hasil daripada Blakely Linz yang berumur 13 tahun daripada Ohio. Harapannya daripada lukisan ini adalah untuk mengajak manusia berhenti sebentar melihat kecantikkan dunia yang mereka tidak perasan kerana terlalu mengejar kemajuan dunia.




Grades 10-12: From the Ashes
Berasaskan burung pheonix yang lahir semula daripada abunya, harapannya adalah untuk melihat bumi ini "lahir" kembali kepada dunia yang aman, harmoni dan bahagia. Setiap simbol yang dikeluarkan didalam doodlenya adalah mempunyai maksud yang menjurus kepada temanya. Doodle ini direka oleh Emerald Lu, 13 tahun daripada Covington, KY.




Rujukan
Marissa, M. & Dennis, H. (2009) 20 April 2009. Announcing the 2009 Doodle 4 Google Winner. Hiper-rangkai: googleblog.blogspot.com

Rabu, 20 Mei 2009

Google Doodle: Bukan Moyang Aku



Jaringan Yang Hilang
Google menukar logo mereka kepada logo fosil hari ini, mengapa? Untuk "menyambut" ulang tahun pertemuan fosil yang berusia 47 juta tahun yang mempunyai fosil sebuah kehidupan berbentuk monyet yang dikatakan antara jaringan yang hilang didalam evolusi manusia.

Bukan Moyang Ku
Walaupun begitu, K tetap mengatakan bahawa K menolak teori Darwin atas kerana manusia bukannya haiwan dan haiwan tidak sehebat manusia daripada segi akalnya. Malang apabila ilmu disaringi oleh akal yang salah membentuk teori yang dikatakan antara teori terhebat. Iaitu teori evolusi. Walau apa pun, fosil tersebut lawa dan menarik.

Rujukan
Google-Logos

Isnin, 18 Mei 2009

Kenapa Virus Wujud?

Bukan Virus Influenza A (N1H1)
Artikel ini tidak kene mengena dengan mana-mana bahagian didalam kes Influenza A (N1H1) atau Selsema Babi dan pesawat MH091. Virus yang ditulis adalah berkaitan dengan virus berbentuk digital atau lebih mudah disebut, virus komputer. Persoalannya kini adalah, mengapa virus dicipta? Sesungguhnya tiada apa yang dilakukan oleh manusia tanpa ada sebarang sebab dan agendanya. Oleh itu mengapa virus ini dicipta. Sebab virus dicipta boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian utama seperti yang di tulis oleh Chad Perrin didalam laman blog techrepublic. Antaranya adalah;

Kemarahan
Isu ini kerap kali K temui didalam virus yang berasal daripada Indonesia khususnya, pertama kali K jumpai adalah didalam virus brontok, dengan mesej yang lebih kurang sama pada setiap jenis variasi mereka.



Jika dilihat daripada gambar mesej ini (tekan untuk lebih jelas), menunjukkan bahawa pembuat virus tersebut mempunyai dendam dan ada sesuatu yang tidak disenangi olehnya kepada orang atasan mahupun kepada pemimpin sesebuah negara. Bagi K, caranya amat kreatif tetapi secara totalnya tidak baik untuk diamalkan oleh semua orang kerana kesannya yang akan menganggu orang lain.

Kekayaan
Siapa kata virus tidak membawa kekayaan kepada pembuatnya? Kebanyakkan virus yang tersebar luas sekarang adalah kerana mereka dibayar oleh seseorang untuk kebaikkan agen tersebut. Contoh paling mudah yang boleh K berikan adalah virus sobig pada tahun 2003 dan conficker pada tahun 2009. Sobig dicipta untuk menyebarkan spam kepada mangsa. Setiap mangsa yang dijankiti akan di pasangkan secara senyap dengan satu aplikasi yang digelar sebagai WinGate yang membolehkan server spam mendapat maklumat mangsa dan menghantar spam kepada mereka. Conficker pula didalam variasi terkini, Conficker.E memasang dua aplikasi, Waledac dan SpyProtect 2009 untuk tujuan spam dan menakutkan pengguna ancaman Conficker didalam sistem mereka. SpyProtect 2009 ini juga digelar sebagai antivirus tipu. Kedua-dua virus ini amat popular didalam kehebatan mereka menyebarkan virus dalam jangka masa panjang. Sehingga kini kedua-dua penulis virus tersebut masih tidak dapat dijumpai dan pihak Microsoft memberikan ganjaran sebanyak US$250,000 setiap seorang kepada sesiapa yang dapat memberikan petunjuk kepada mereka tentang penulis virus tersebut. Ironinya kedua-dua virus ini mematikan diri mereka setelah satu jangka masa secara automatik. Sobig (10 September 2003) & Conficker (3 Mei 2009)

Politik, Organisasi & Negara
Virus juga kadang kala mampu digunakan didalam hal hal sebegini terutamanya jika organisasi A tidak disukai oleh organisasi B, oleh itu B menyuruh penjahat siber agar menyerang sistem web A agar tidak dapat dimasuki oleh pelanggan, kemudian pelanggan tersebut akan pergi ke B sebagai alternatif pilihan. Antara serangan yang selalu dilakukan adalah DDoS, seperti mana yang berlaku kepada Estonia yang diserang oleh Rusia didalam Peperangan Siber Pertama. Untuk melakukan DDoS, penjenayah siber ini perlu mempunyai senarai "zombie" atau "tentera" terlebih dahulu dan disebabkan itu, virus dicipta. Untuk menjadikan mangsa virus tersebut sebagai "hamba abdi" kepada penjenayah tersebut supaya dapat menyerang organisasi A. Malah jika dilihat Google dan Yahoo juga pernah terkena serangan sebegini.

Kesimpulan
Terdapat banyak lagi sebab dan pecahan didalam sebab mengapa virus komputer ini dicipta. Apa pun sebabnya virus adalah satu perkara yang tidak bagus untuk pengguna komputer dan seharusnya perkara ini di ambil berat lebih lagi kepada sesebuah organisasi mahupun syarikat. Semoga anda sentiasa selamat daripada ancaman virus.

Rujukan
Abang Juhar, T. (2006) Dikeluarkan pada 23 April 2006. 9 langkah jitu membasmi Rontokbro dan Mybro. Hiper-rangkai: www.vaksin.com
Chad, P. (2009) Dikeluarkan pada 24 April 2009. Why do people write viruses? Hiper-rangkai: blogs.techrepublic.com.com
Wikipedia, the free encyclopedia. Conficker. Hiper-rangkai: en.wikipedia.org
Wikipedia, the free encyclopedia. Sobig (computer worm). Hiper-rangkai: en.wikipedia.org
Wikipedia, the free encyclopedia. WinGate. Hiper-rangkai: en.wikipedia.org

Rabu, 13 Mei 2009

IT Daripada Mata Dunia Pekerjaan. Edisi 2

IT: Murid Lawan Guru
"Secara umumnya pelajar mendapat pendedahan tentang teknologi lebih baik daripada pengajar" (Jack, 2008). Itu yang dikatakan oleh Hayes didalam salam satu artikel didalam majalah MIS Asia September 2008 yang K baca semalam di UDA Holding KL. Bahasa asal penulisan tersebut adalah didalam bahasa Inggeris. Dimana kebenaran didalam pernyataan tersebut, K menulis.

Mungkin Benar
Tidak dinafikan pernyataan benar jika dilihat daripada perkembangan teknologi sekarang. Jika dahulu penggunaan telefon bimbit itu satu eksesori mewah, tetapi kini dilihat sebagai satu "keperluan" kepada semua, termasuklah murid sekolah dan termasuklah beberapa model telefon yang dikeluarkan khusus untuk kegunaan kanak-kanak di jepun oleh NTT DoCoMo (Hikoro, 2007). Kini pengajaran komputer telah pun dimasukkan kedalam mana-mana sekolah berdaftar. Masalah utama yang akan timbul akan datang apabila pelajar tersebut lebih mengetahui tentang teknologi berbandig gurunya. Guru yang paling mempunyai tekanan adalah guru yang mengajar pengajaran teknologi itu sendiri. Tidak hairan jika 5 tahun daripada sekarang pelajar akan membawa komputer bimbit ke dalam kelas untuk tujuan pengajaran. Untuk semua guru, jangan biarkan diri anda terlalu jauh tertinggal dengan murid-murid. Paling kurang sebulan sekali baca tentang teknologi.

Pengalaman
Hari ini, K pergi pula ke Melaka. Boleh dikatakan "sehari di Melaka". Sekitar di Batu Berendam untuk menghantar dan memasang satu komputer riba dan dua set komputer meja beserta pencetak. Ini bukan kali pertama K berurusan dengan mereka yang bukan didalam bidang IT, tetapi itu hanya di Universiti. Tetapi kali ini adalah dunia pekerjaan. Soalan pertama mereka adalah berkaitan dengan antivirus. Bagi K itu satu perkara yang baik, kerana mereka kini lebih sensitif dengan hal yang berkaitan dengan sekuriti dan keselamatan data mereka. Tetapi yang masih kurang difahami adalah mengapa virus masih boleh masuk kedalam sesuatu sistem walaupun terdapat antivirus didalam sistem. Sama ada yang percuma ataupun berbayar. Mungkin K akan perkatakan masalah ini, dan menggunakan analogi yang mungkin dapat membantu. Tetapi untuk masa sekarang, K masih mengikuti apa yang diuruskan untuk K di JRC-Pro. Plan esok, MARA, untuk membuat proses menaikkan sistem UPS kepada sistem switch.

Rujukan
Hikoro, T. (2007) Dikeluarkan pada 13 Februari 2007. Child-watching gadgets gain foothold in Japan. Hiper-rangkai: www.msnbc.msn.com
Jack, L. (2008) A Learning Revolution. MIS Asia, September 2008

Catatan
K kini sedang bercuti daripada universiti berikutan cuti semester, dan kini berada di JRC-Pro Technology Sdn. Bhd.

Isnin, 11 Mei 2009

IT Daripada Mata Dunia Pekerjaan. Edisi 1

Kemaskini_1: 11 Mei 2009

Bercuti
K telah maklumkan pada entri khas bahawa kini K sedang bercuti. Mungkin cuti daripada belajar didalam kelas tetapi tidak di luar kelas. K sekarang mempelajari dunia IT berdasarkan dunia pekerjaan di bawah syarikat JRC-Pro Technology Sdn. Bhd.

Bukan L.I.
K hadir ke JRC-Pro bukan kerana latihan industri tetapi sekadar mahu memandang bidang IT daripada satu sudut lain. Iaitu sudut pekerjaan sebenar. Kerana kebanyakkan "graduan lambakkan" didalam bidang IT dikatakan tidak memenuhi kehendak mahupun spesifikasi yang dimahukan oleh dunia pekerjaan. Oleh itu K mahu melihat daripada sudut apakah yang dikatakan "tidak mengikut spesifikasi".

Hari Pertama
11 Mei 2009, hari pertama K di JRC-Pro. Daripada Shah Alam pergi ke Pejabat Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Kuala Lumpur untuk memasang sejumlah unit UPS - uninterruptible power supply di sana. Walaupun bukan K yang memasangnya tetapi sedikit sebanyak dapat menegetahui mengapa dan bagaimana UPS tersebut berfungsi di dalam sesuatu jaringan tersebut apabila berlakunya masalah ketiadaan bekalan dan berapa lama ia mampu bertahan. Sebenarnya sistem UPS ini telah K pelajari didalam kelas dan ketika lawatan ke Pusat Teknologi Maklumat (PTM) UMT. Tetapi lain tempat lain keadaannya. Perkara yang paling K perasan, sistem server di MARA menggunakan Microsoft Windows Server. Mungkin Windows Server 2008? Berbanding di UMT, mereka menggunakan sistem operasi FreeBSD.

Kesimpulan Hari Pertama
Penat dan meletihkan. Kerana perlu menghadapi kesesakkan lalu lintas di Kuala Lumpur. Esok? Mungkin akan menjadi lebih menarik.

Suka K mengungkapkan kata-kata kruel74,

"Have fun in college but do learn something. ...and it does not necessarily mean your major."

Kerana perkara yang paling sukar didalam mana-mana bidang pekerjaan adalah, "pengurusan manusia". Itu yang Owez pernah katakan kepada K.

Khamis, 7 Mei 2009

Influenza & Doa

Kemaskini_1: 14 Mei 2009

Perutusan Khas
Penulisan kali ini adalah utusan khas yang K tujukan kepada semua pembaca, semoga kita terhindar daripada bala yang menimpa dunia sekarang ini.

Doa
Penulisan kali ini tidak memaparkan kaitan Influenza A dan teknologi sebaliknya K memasukkan nilai Islamik kedalam teknologi berdasarkan masalah Influenza A. Doa yang K masukkan ini tidak sukar untuk di amalkan kerana doa tersebut adalah lazim kepada sebahagian besar umat Islam di Malaysia. Iaitu Doa Qunut. Pada penulisan ini, K hanya menuliskan maksudnya sahaja kerana K menganggapkan kebanyakkan orang tahu tentang doa qunut ini didalam bahasa arab:

"Ya Allah! Tunjukilah aku bersama orang-orang yang Engkau tunjuki, sihatkan aku bersama orang-orang yang Engkau sihatkan dan pimpinlah aku bersama orang-orang yang Engkau pimpin. Berkatilah aku pada setiap nikmat yang Engkau kurniakan dan lindungilah aku dari bencana yang Engkau taqdirkan, sesungguhnya Engkaulah yang mentaqdirkan dan tiadalah Engkau yang ditaqdirkan, dan bahawasanya tiadalah akan terhina orang yang Engkau pimpin, dan tiadalah mulai orang yang Engkau musuhi. Maha Mulia Engkau, wahai Tuhan kami! Dan Maha Tinggi Engkau. Semoga Allah mencucuri rahmat dan kesejahteraan ke atas Junjungan kami Muhammad, keluarga dan sahabat-sahabatnya."

Hanya Cebisan
Doa ini adalah salah satu daripada doa dan amalan yang tertulis di dalam kitab Amalan Menolak Wabak & Bala yang dikeluarkan oleh Sofa Production. Kitab ini diterjemahkan oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al Maliki daripada kitab asal yang ditulis oleh Al 'Allamah Syeikh Yusuf Ibn Ismail al Nabhani. Semoga penulisan kali ini dapat membantu anda didalam menghadapi bencana yang menimpa dunia sekarang dan bersama kita bermohon agar dijauhkan daripada wabak ini.

Doa Mantan Mufti Negeri Sembilan
Mantan Tuan SS Mufti Negeri Sembilan, Dato` Sheikh Haji Mohd Murtadza bin Sheikh Ahmad telah memanjangkan satu doa yang lain. Anda boleh membacanya disini.

Rujukan
Muhammad Fuad bin Kamaluddin al Maliki. Amalan Menolak Wabak & Bala. Terjemahan daripada: Al 'Allamah Syeikh Yusuf Ibn Ismail al Nabhani. Sa'adah al Darain fi al Solah 'ala Sayyid al Kaunain. (2009) Sofa Production. Cetakkan Kedua Mei 2009. Muka 8-9.
Yayasan Sofa. (2009) Dikeluarkan pada 13 Mei 2009. Ancaman Wabak. Hiper-rangkai: yayasansofa.blogsome.com

Ahad, 3 Mei 2009

Perutusan Khas: 03 Mei 2009

Adalah Dimaklumkan
Bahawa K telah pun tidak berada di atas talian semenjak 30 April 2009 atas alasan pulang ke kampung. Oleh itu untuk semua komen dan pertanyaan (jika ada) yang anda kirimkan, akan dibalas dalam jangka waktu yang akan tiba nanti.

Projek Luar Talian
K kini sedang membuat satu projek luar talian untuk blog ini yang mana sedang menukarkan semua format penulisan yang lama (semenjak kali pertama menulis di AMBNaC) kepada satu format penulisan yang tetap dan terkini. Dengan itu pembaca akan dapat mengambil manfaat secara total kelak daripada apa yang tertulis didalam blog ini. Segala kesulitan harap dimaafkan.

Sabtu, 2 Mei 2009

Selsema Babi: Spam Dan Sekuriti

Isu Hangat
Telah K nyatakan didalam penulisan yang lalu tentang kaitan antara isu semasa dan spam, pada minggu ini kenyataan akan membawa kebenaran tetang apa yang K perkatakan. Selsema Babi, H1N1 menyerang dunia dan akan menyerang dunia internet pula.

Spam
Antaranya adalah menggunakan berita yang benar dan sahih yang dimanipulasikan agar menjadikan emel tersebut kelihatan benar. K telah menulis perkara ini didalam isu Virus Popular: Baik Atau Sebaliknya? Sesi 2 tentang spam dan phisihing. Kini pengguna dinasihatkan untuk berhati-hati dengan apa sahaja emel yang datang kedalam ruang storan emel anda kerana mungkin ada diantaranya merupakan spam mahupun merupakan satu modus operandi didalam mengambil keuntungan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Spam mungkin akan datang dalam bentuk meminta bantuan derma ataupun berita tentang artis yang kononnya terkena selsema tersebut. Dan kebanyakkan spam tersebut dilaporkan menggunakan katanama "Oseltamivir" atau "Tamiflu", kononnya satu dadah yang mampu untuk mengekang daripada terkena virus tersebut (Christopher, 2009). Ternyata taktik menggunakan berita yang benar menjadi modus operandi yang kukuh didalam cubaan untuk mempengaruhi pemikiran pengguna yang membaca emel tersebut dengan mengeluarkan gambar dan berita yang diambil daripada sumber yang sah (tekan gambar untuk lebih jelas). Oleh itu sememangnya phishing juga akan menggunakan cara yang sama, oleh itu semoga berhati-hati.

"security is not a product, it's a process"

Rujukan
Christopher, N. (2009) Dikeluarkan pada 28 April 2009. Now arriving: Swine flu spam. Hiper-rangkai: tech.yahoo.com
Elinor, M. (2009) Dikeluarkan pada 28 April 2009. Phishing with swine flu as bait. Hiper-rangkai: news.cnet.com
Mayur, K. (2009) Dikeluarkan pada 28 April 2009. Swine Flu Outbreak Headlines Used For Spammer’s Gain. Hiper-rangkai: forums2.symantec.com

Jumaat, 1 Mei 2009

Leonidas Mencabar Jaunty

Masa Boot
Apabila Jaunty Jankalope dilepaskan, tumpuan utama pengguna adalah masa boot yang lebih pantas dengan sasaran yang diletakkan oleh Ubuntu adalah 25 saat dan mereka berjaya mencapai masa boot sekitar 21 saat. Kini perkara itu dicabar oleh Leonidas atau Fedora 11.

Lebih Pantas
Masa yang diambil untuk sesebuah komputer daripada saat di hidupkan sehingga sampai ke skrin masuk adalah satu perkara yang penting, kerana tiada siapa yang mahu menunggu lama didalam proses tersebut. Oleh itu cabaran untuk mempercepatkan lagi masa boot adalah umpama satu larian pecut 100m. Kini persaingan tersebut telah pun berlaku. Jaunty telah mencapai rekod bawah 25 saat berbanding dengan Intrepid 45 saat (Sean, 2009). Kini Leonidas juga mengorak langkah untuk mencapai kelajuan yang sama, bahkan lebih pantas, sasaran 20 saat diletakkan daripada Fedora 10, 30 saat.

Windows 7
Windows 7 juga tidak terkecuali daripada menjadi perbandingan pada perlumbaan ini, dengan rekod sekitar 30-35 saat, Windows menghadapi cabaran daripada sistem operasi sumber terbuka yang lebih pantas. Mampukah Windows 7 membuat kejutan pada keluaran akhir nanti. Isu ini masih muda dan boleh diperbaiki.

Pesanan AMBNaC: Salam hari pekerja untuk semua pekerja di Malaysia.

Rujukan
Rahul. (2009) Dikeluarkan pada 28 April 2009. Fedora 11 Preview Release Announced. Hiper-rangkai: www.osnews.com
Sean, M. K. (2009) Dikeluarkan pada 23 April 2009. Ubuntu 'Jaunty' Touts Faster Boot Time. Hiper-rangkai: itmanagement.earthweb.com